KUALA LUMPUR: DAP terbuka kepada syor dan cadangan
mengenai keperluan perwakilan Cina dalam kerajaan dan akan memberi
respons kepada perkara itu kemudian, kata penasihatnya Lim Kit Siang.
"Kelihatannya terdapat banyak syor dan pendapat baharu. Ini merupakan
masa untuk meneliti cadangan dan syor itu, dan kami akan memberikan
reaksi sewajarnya. "Kami (akan) beri masa kepada mereka untuk
mengemukakan semua cadangan," katanya pada sidang akhbar di sini semasa
diminta mengulas gesaan agar DAP menyertai Barisan Nasional (BN) untuk
memastikan ada perwakilan Cina dalam kerajaan.
Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin semalam berkata
langkah itu pasti sukar diterima oleh DAP dan BN serta penyokong
masing-masing tetapi perlu dilakukan demi keharmonian dan kestabilan
politik negara.
Anggota Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan dalam
temuramah dengan akhbar Sin Chew semalam juga berkata DAP boleh mewakili
kepentingan masyarakat Cina di peringkat kerajaan persekutuan.
Lim berkata: "Biar mereka kemukakan semua cadangan, kemudian kami
akan beri respons." "Kami akan tunggu dan lihat," katanya ketika
diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu.
BN membentuk kerajaan persekutuan selepas memenangi 133 kerusi
Parlimen mankala pakatan rakyat 89 dalam pilihan raya umum ke-13 Ahad
lalu.
Najib mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Yang
di-Pertuan Agong Isnin lalu dengan ketiadaan wakil kaum Cina dalam
kabinetnya yang bakal dibentuk.
Ini kerana pucuk pimpinan MCA, yang memenangi tujuh daripada 37
kerusi ditandingi parti komponen BN itu, memutuskan tidak mahu
menganggotai jemaah menteri baharu Najib.
Sebuah lagi parti dominan kaum Cina dalam BN, Gerakan juga ditolak pengundi Cina dengan hanya memenangi satu kerusi Parlimen.-BERNAMA
No comments:
Post a Comment